Translate

Sunday, April 30, 2017

MAKNA DALAM KONTEKS BAHASA DUSUN BUNDU (KAMPUNG LOKOS)

Bahasa seringkali ditakrifkan sebagai suatu sistem yang lazim bentuk komunikasi  iaitu sistem untuk menyampaikan mesej. Tambahan pula susuatu komunikasi yang sempurna dapat dilaksanakan apabila adanya makna tertentu dalam tujuan komunikasi tersebut. Oleh hal yang demikian, makna perlulah dihuraikan bagi mencirikan sistem Bahasa itu sendiri. Dalam sistem Bahasa, nahu atau tatabahasa menghuraikan sesuatu bahasa, sebahagian daripadanya mestilah menghuraikan makna. Dengan demikian, setiap maklumat nahu mengandungi maklumat makna dan maklumat makna itu merupakan bahagian penting dalam sesuatu nahu.
          Menurut Robins (1979) dalam Saidatul Hj. Mahali (2012), kajian makna merupakan aspek penting dalam linguistik am. Firth (1957) pula menegaskan bahawa makna sebagai inti dalam kajian suatu bahasa (Saidatul Hj. Mahali, 2012:65). Oleh itu ilmu semantik atau kajian makna merupakan kompenen penting dalam Bahasa khususnya ilmu linguistik walaupun semantik juga mempunyai pertalian dalam bidang lain seperti falsafah, psikologi dan antropologi.


APA ITU MAKNA?

Kata makna membawa erti 'maksud' atau 'erti'. Kendatipun begitu, Makna juga boleh ditafsir pelbagai pengertian lainnya seperti Ogden & Richard (1956) memberikan 16 pengertian bagi makna; antaranya makna ialah suatu yang intrinsik; pokok; kemahuan; dan suatu peristiwa yang diharapkan. Makna menurut ahli-ahli bahasa pula dapat diertikan sebagai unit bahasa terkecil yang mengandungi makna. Saussure (Chaer, 2007:286) menyatakan bahawa pengertian makna sebagai pengertian atau konsep yang dimiliki atau terdapat pada suatu tanda linguistik manakala Bloomfield (1992) mentakrifkan makna sebagai suatu bentuk linguistik sebagai keadaan apabila penutur tersebut mengujarkannya dengan gerak balas yang dijangkakan daripada pendengar. Seseorang itu boleh mentakrifkan makna sesuatu bentuk pertuturan dengan tepat apabila makna ini berkaitan dengan pengetahuan saintifik yang dimiliki oleh seseorang (Saidatul, 2012).

      Lyons (1977:204) menyatakan bahawa memberikan makna kepada sesuatu kata adalah memahami kajian tentang kata berkenaan serta hubungan-hubungan makna yang menyebabkan kata tersebut berbeza daripada kata-kata yang lain. Oleh hal yang demikian, makna leksikal daripada kata-kata itu sendiri yang cenderung terdapat dalam daftar kata atau kamus, sebagai leksem (Djajasudarma, 1993).

          Pengertian makna juga dapat dibezakan daripada kata asalnya dalam bahasa Inggeris iaitu sense dan meaning  yang kedua-duanya mempunyai pengertian 'makna' dalam istilah semantik. Beberapa pengertian tentang istilah makna (meaning, linguistic meaning, sense) iaitu (i) maksud penutur; (ii) pengaruh satuan bahasa untuk memahami persepsi atau perilaku manusia atau kelompok manusia; (iii) hubungan, dalam erti kesepadanan antara bahasa dan alam atau konteks di luar bahasa, atau antara ujaran dan semua hal yang ditunjukkan; (iv) cara menggunakan lambang-lambang bahasa (Kridalaksana, 1993:132-133)
.
          Berdasarkan pengertian makna di atas, jelas bahawa makna bahasa adalah aspek dimana berlakunya komunikasi antara para penutur bahasa. Merujuk kepada penjelasan (iii) di atas bahawa makna merupakan penghubung antara bahasa dengan alam atau konteks di luar bahasa, atau antara ujaran dengan semua hal yang ditunjukkannya, dapatlah disimpulkan bahawa bersesuaian dengan persetujuan penutur-penutur bahasa sehingga mereka dapat sering memahami dan terjadilah suatu proses komunikasi.

          Dalam konteks Bahasa Dusun sendiri misalnya mengandungi banyak kata yang mempunyai pelbagai makna. Oleh sebab terdapatnya kepelbagaian jenis kata, bentuk kata dan makna yang pelbagai, kata-kata dalam Bahasa Dusun juga sama dengan Bahasa Melayu dan Bahasa-bahasa lain dapat dikategorikan kepada beberapa golongan. Antaranya adalah sinonim (makna yang sama : miagal rati), antonim (makna bertentangan : misulak rati), hiponim (bentuk yang sama tetapi makna berbeza : miagal bontuk nga misuai rati). 

Jenis-jenis Makna
Makna, umumnya dapat dibahagikan kepada dua bahagian utama iaitu makna linguistik dan makna sosial. Makna linguistik juga dapat dikategorikan lagi kepada dua subbahagian iaitu makna leksikal dan makna struktural. Makna leksikal pula pula dapat dibahagikan kepada bahagian yang lebih kecil, iaitu makna literal atau denotatif; dan makna figuratif atau konotasi. Umumnya, makna dapat dikategorikan kepada beberapa jenis. Leech (1974) mengkategorikan makna kepada tiga kelompok besar iaitu:

i)    Makna Konseptual

Konseptual merupakan makna yang bersifat logik. Dikecilkan lagi skop menjadi makna denotatif yang mempunyai kaitan rapat dengan penerangan tentang fakta yang bersifat objektif maka, makna ini juga dikenal sebagai 'makna sebenar', 'makna asal', 'makna mutlak', atau 'makna dasar'. Dengan kata lain, makna denotasi ialah 'makna tersurat' atau 'makna sebenarnya' yang diperkatakan. Walau bagaimanapun makna denotasi ini juga dipengaruhi oleh pengalaman dan budaya yang melatari pengucap atau si pendengar sesuatu kata berkenaan. Sebagai contohnya, dalam Bahasa Dusun Lokos menyatakan buah salak sebagai torintid berdasarkan pengaruh sekitar dan budaya sosial kampung halaman tetapi Dusun Tambunan pula menamakan buah salak sebagai bogung.

ii) Makna Asosiatif

Makna asosiatif bermaksud hubungan atau kaitan (antara satu dengan yang lain), perhubungan dan pertalian (kamus linguistik, 1997 dalam Saidatul Hj. Mahali, 2012:71). Makna asosiatif cenderung dipengaruhi  oleh unsur-unsur psikologi, pengetahuan dan pengalaman seseorang. Secara deduksinya, makna yang terlibat akan mengalami perubahan makna yang berlaku kerana wujudnya persamaan sifat antara makna lama dengan makna yang baharu. Terdapat lima jenis makna tersebut yang dikelompokkan menjadi lebih kecil iaitu:

a) Makna Konotatif
  • Diertikan sebagai makna yang bukan literal atau tersurat. Makna ini lebih mengutamakan komunikatif iaitu yang dirujuk oleh penutur dalam suatu konteks interaksi. Nika Safiah Karim (2004) menyatakan bahawa makna konotasi ialah makna yang mempunyai kaitan dengan nilai rasa, baik positif mahupun negatif. Sekiranya nilai rasa tersebut tidak wujud, kemungkinan besar sifat perkataan itu tidak akan memihak mana-mana. Misalnya ujaran dalam Dusun Bundu, 'oruol i naratu di? Ongoi-ongoi po kaagu indakod' (Sakit kah terjatuh? Silakan panjat balik). Perkataan 'ongoi-ongoi po kaagu indakod' (silakan panjat balik) dalam ujaran tersebut bukan membawa maksud arahan sebenar untuk seseorang itu memanjat sebaliknya perkataan itu sebenarnya ungkapan yang membawa maksud 'menegah' seseorang untuk memanjat kembali. Oleh itu, makna bagi perkataan itu dirujuk dan difahami berdasarkan konteks budaya dan kebiasaan yang melatari penduduk Kampung Lokos. Makna konotasi juga umumnya bersifat sindiran atau makna yang berkias.
b) Makna Stilistik
  • Makna stilistik merujuk kepada situasi sosial dimana sesuatu ujaran itu berlaku. Ujaran penutur dan pendengar dapat menentukan bunyi atau kata yang dilafazkan. Daripada makna stilistik ini, dapat ditentukan asal usul atau kedudukan geografis penutur, hubungan sosial antara penutur dan pendengar, kedudukan status mereka ataupun kita dapat menentukan loghat atau dialek yang digunakan (Sibarani et ai.,2003).
c) Makna Afektif
  • Afektif berkaitan dengan gaya atau makna yang menunjukkan perasaan (Harimurti Kridalaksana, 2008). Ujaran dapat dirumuskan berdasarkan nada, intonasi, dan tekanan yang memungkinkan interpretasi oleh pendengar mengenai sesuatu yang diungkapkan. Makna afektif biasanya disampaikan melalui saluran konotasi ataupun konseptual sesuatu perkataan. Misalnya dalam pertuturan 'basug ko no iya tanak amu mokinongou sunudan' (anak bodoh tidak pandai dengar nasihat). Dalam ujaran itu terdapatnya unsur negatif secara konseptual iaitu ditekankan pada kata 'basug' (bodoh) tetapi juga mempunyai unsur positif secara konotasi dalam keseluruhan ujaran iaitu penutur menekankan agar pendengar yang dimaksudkan supaya berubah. Koteks sedemikian turut memperlihatkan hadirnya unsur penggunaan sosial yang secara tidak langsung melatari perbualan berkenaan.
d) Makna Refleksif
  • Makna yang dihubungkan dengan makna asosiasi lain iaitu mencerminkan maksud lain yang terdapat dalam sesuatu perkataan itu.
e) Makna Kolokatif
  • Makna yang berbeza berdasarkan penggunaannya pada tempat-tempat tertentu. Misalnya perkataan tinagas/sompipi (kategori yang sama).
  • Tinagas/sompipi kou hiti tangaanak. (semua budak-budak di sini)
  • Otinagas gula tiinumon nu. (minuman awak terlalu manis)
iii) Makna Tematik
  • Cara seseorang menyusun mesej mengikut fokus atau tekanan dalam ujaran atau penulisannya. Harimurti Kridalaksana (2008) menyatakan bahawa tematik adalah proses pengaturan unsur-unsur amanat atau mesej sehingga penegasan atau penekanan terletak pada tempat yang wajar dalam sesuatu ayat atau ujaran. Oleh itu, dengan kata lain 'tematik' bermaksud 'apa yang dikomunikasikan' dan isi yang hendak disampaikan dalam mesej atau sesuatu ujaran. Makna tematik disampaikan melalui susunan bunyi, susunan kata, fokus dan tekanan serta terletak pada pilihan sendiri berdasarkan minat, sikap, latar belakang, tekanan emosi dan sebagainya. Penegasan sesuatu dalam ayat mampu menukar makna ayat tersebut. Contohnya:

  1. Momogusa i Alex do kambing. (Alex mengejar kambing.)
  2. Ginusas i Alex do kambing. (Alex dikejar oleh kambing.)
  • Kedua dua ayat di atas mempunyai makna dan penegasan yang berbeza. Ayat 1 memberi penegasan kepada pelaku iaitu Alex sebagai fokus manakala ayat 2 memberi penegasan kepada kambing sebagai fokus ayat.


Makna Kias, Leksikal, Gramatikal, Umum dan Khusus

Hubungan Bahasa dengan masyarakat sememangnya sangat erat kerana bahasa merupakan simbol yang terdiri daripada bunyi yang yang diucapkan melalui mulut manusia sebagai alat komunikasi. Bahasa juga dituturkan oleh masyarakat yang berbeza cara hidupnya. Oleh sebab sifat sesuatu bahasa mempunyai hubungan yang rapat dengan cara hidup masyarakat penuturnya, sesuatu bahasa itu juga berbeza-beza bergantung kepada tujuan penggunaannya. Oleh hal yang demikian, terdapat pelbagai cara lain bagi makna dimaknai. Antaranya adalah makna kiasan, makna leksikal, makna gramatikal, makna umum dan makna khusus.

1. Makna Kiasan
  • Makna yang bukan sebenarnya sama dengan makan konotatif tetapi mempunyai persamaan yang hampir. Dengan perkataan lain, kiasan bermaksud (i) pengajaran, teladan atau pembelajaran (daripada suatu cerita); (ii) ibarat, perumpamaan; (iii) pertimbangan atau perhitungn  tentang sesuatu perkara (hal) dengan perbandingan atau persamaan dengan perkara (hal) yang lain; (iv) sindiran; (v) lambang; (vi) erti kata yang bukan sebenarnya; erti yang tersembunyi (Kamus Bahasa Melayu Nusantara, 2003:1351, dalam Saidatul Hj. Mahali, 2012:75).
  • Contoh dalam Bahasa Dusun Bundu (KG Lokos)
  1. gakod - sukud (kaki - tongkat)
  2. irad no palad - kinoyonon di okoro (sebesar tapak tangan - menunjukkan kawasan yang kecil)
2. Makna Leksikal
  • Makna yang tetap tidak berubah-ubah, bersesuaian dengan makna yang tertulis pada kamus. Dalam erti kata lain, makna leksikal tidak mempunyai kata yang lainnya dalam sesuatu struktur (frasa, klausa atau ayat). Contohnya
  • Abai- cuai, lalai
  • Babak- bahagian daripada suatu lakonan
3. Makna Gramatikal
  • Makna yang dapat berubah sesuai dengan konteksnya. Kata tersebut mengalami proses gramatikalisasi disebabkan oleh prosespenggandaan, pengimbuhan serta pengulangan.
  • Contoh dalam Bahasa Dusun Bundu (KG Lokos)
  1. Mumu-gumu (semakin banyak/ramai) - semakin ramai tetamu yang datang
  2. Olomu (berisi/berdaging)- gambaran tubuh manusia yang berisi
4. Makna Umum
  • Makna yang mempunyai ruang cakupan yang luas daripada kata yang lain.
  • Misalan dalam Dusun Bundu (Kg Lokos)
  1. Mulau (gila) - bodoh, perilaku gila-gila, salah satu ungkapan melepaskan geram, kurang siuman
  2. basug (bodoh) - Bodoh, perilaku gila-gila, salah satu ungkapan melepaskan geram
  3. Matai (mati/meninggal) - meninggal, salah satu keluhan putus asa, sudah cukup, sengsara
5. Makna Khusus
  • Kata yang terbatas atau terhad ruang lingkupnya. Digunakan untuk merujuk sesuatu perkara atau objek sahaja. Konteks makna ini juga didukungi oleh budaya yang melatari sesuatu interaksi.
  • Contoh dalam Dusun Bundu (Kg Lokos)
  1. Momolupu' nopo dia karaja. (Menyumpah sahaja kerja awak)
  2. Mimpopol nopo karaja. (Selalu memarahi)

Makna Dalam Konteks Bahasa Dusun Bundu (Kg Lokos)

Penutur Dusun Bundu dari Kg Lokos merupakan antara penutur bahasa Dusun di Sabah yang menggunakan kebanyakan makna konotatif, kiasan dan menggunakan leksikal yang menyembunyikan makna budaya bersama-samanya. Untuk memahami maksud sebenar perkataan yang diguna, pendengar perlu mempunyai latar belakang Budaya Dusun serta dialek yang paling dekat iaitu Bundu dan Liwan.

Contoh Dialog:

Penutur x: Atuuk. Pokukurayan tu osuab kopio? (Awak ke mana awal-awal begini?)
Penutur y: Moi po daa ti lombus moi ponusui kasip. (Saya mahu melihat jerat(binatang) yang telah saya pasang)
Penutur x: Oo om kangaaman tomod ino sikog ka i haro rulusan ponguru tu'u tinuu. (Baiklah. Elok juga ada yang dimakan sambil minum nanti.)
Penutur y: Iri nogi daa bo inda ka i ti gompus. Nunu nangku torimo-rimoon diti. (Yaa betul juga. Tambahan pula di musim hujan ini tiada aktiviti.)
Penutur x: Baa om kopiruba i katuu tinuu haro no powongi-wongion modsurub. (Jumpa awak nanti kalau ada hasil jerat)
Penutur y: Baa om maan nopo i dongkoubasanan laa. Rumikot nopo kira-kira moningguruuk tian. Haro i daa i sontukil no di tinakas kosuab. (Baiklah. Datang seperti biasa sahaja. Datang kira-kira masa makan tengahari. Ada juga sedikit bahar (nira kelapa) saya turunkan pagi tadi. )
Penutur x: Baa. (baiklah.)

Dialog di atas memaparkan beberapa penggunaan leksikal yang mengandungi unsur budaya khususnya yang melatari Dusun Bundu iaitu monusui kasip yang bermaksud menjerat binatang menggunakan peralatan bambu. Selain itu penggunaan bahar dan sontukil juga merupakan kata yang melatari dialek Dusun. Dalam pada itu, penggunaan konotasi serta kiasan juga sangat sinonim dengan dialek Bundu di Kg Lokos serta budaya yang melatari kawasan tersebut. Dalam dialog di atas dipaparkan penggunaan makna kiasan, misalnya haro powongi-wongion modsurub yang bermaksud ada hasil jerat dan dibersihkan melalui membakar bulu. Makna konotasi pula dapat dilihat pada dialog kedua Penutur x iaitu memberi maksud sekiranya ada hasil jerat maka, adalah juga yang dimakan sambil meminum bahar.


Secara kesimpulannya, makna mempunyai satu keistimewaan kerana kajian dalam bidang ini boleh mentautkan banyak aspek kehidupan dengan cara berinteraksi. Selain itu, makna juga mendukung nilai rasa dan nilai budaya bersama-samanya. Oleh hal yang demikian, untuk memahami dan mengelak salah tafsir berlaku, pemahaman terhadap latar budaya setiap penutur-pendengar perlulah diambil perhatian. Jika makna mampu ditatar dengan baik, salah faham dalam proses komunikasi dapat diminimumkan.

Rujukan
Asmah Hj. Omar (1980). Analisa wacana. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Edmondson & Willis (1981). Spoken discourse: A model for analysis. London: Longman
Harimurti Kridalaksana (2008). Kamus linguistik. Jakarta: Penerbit PT Gramedia Pustaka Utama
Leech G. (1974). Semantics. Harmondsworth: Penguin Books
Nathesan S. (1993). Senario kepelbagaian bahasa dialek di Sabah: Satu tinjauan. Kuala Lumpur:               Dewan Bahasa dan Pustaka
Nathesan S. (2001). Makna dalam bahasa melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Nik Safiah Karim (2004). Bahasa melayu sedekad yang lalu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan                 Pustaka
Ogden & Richard (1956). The meaning of meanings. London: Routledge & Kegan Paul Ltd.
Sibarani Robert et al. (2003). Hakikat bahasa. Bandung: Penerbit Citra Aditya Bakti
Windstedt R. O. (1960). A history of classical malay literature. Kuala Lumpur: Oxford University               Press


Dalam penulisan artikel ini saya memohon maaf sekiranya terdapat kekeliruan, contoh dan kesalahan-kesalahan lain seperti penggunaan bahasa dan ejaan yang kurang mantap dan releven dengan tajuk yang diutarakan. Penulisan ini juga merupakan penerbitan pertama yang akan ditambah baik dari semasa ke semasa serta sebagai asas kepada penulisan artikel-artikel ilmiah saya pada masa akan datang.