HALIAH MERAH (haliah bara)
Haliah Merah (haliah bara) merupakan herba lama bagi kaum Kadazandusun. Haliah merah khususnya mempunyai banyak kegunaan dalam perubatan dan kurang sesuai bagi kegunaan seperti perasa makanan kecuali dicampurkan dalam minuman. Haliah ini tumbuh dengan subur seperti haliah biasa namun mempunyai perbezaan dalam saiz hasil iaitu haliah biasa biasanya mempunyai hasil atau keratan-keratan pada isi haliah (rizom). Perbezaan yang ketara antara kedua-dua haliah ini termasuklah haliah merah mempunyai bilangan akar yang lebih banyak berbanding haliah biasa serta mempunyai akar yang lebih kuat berbanding haliah biasa. Selain itu jumlah pokok atau batang yang tumbuh juga lebih banyak didapati pada haliah merah berbanding haliah biasa. Haliah ini boleh ditentukan atau dikenali melalui beberapa aspek perbezaan tersebut selain daripada warna.
Seperti pada isi perbincangan, haliah merah sebagai herba yang terkenal dalam kaum Kadazandusun di Sabah, mempunyai banyak fungsi dan kegunaan dalam tradisi perubatan tradisional. Antara kegunaan haliah merah dalam perubatan termasuklah merawat kulit mati, membantu penghadaman makanan, membantu mengeluarkan angin dari dalam badan, melegakan demam, mengurangkan sengal-sengal sendi, merawat kecederaan otot, rawatan selepas bersalin, melegakan sakit perut dan memanaskan badan. Selain daripada itu, terdapat banyak lagi kegunaan haliah merah dalam perubatan yang tidak dapat dikongsikan namun secara deduktifnya, haliah merah sesuai untuk digunakan dalam merawat kebanyakan penyakit dan tidak mempunyai kesan yang negatif terhadap tubuh badan manusia.
Sebagai asas cara-cara penyediaan haliah merah dalam perubatan, terdapat dua cara yang berkesan iaitu melalui dalaman iaitu diminum serta secara luaran iaitu tidak melibatkan pemakanan atau diminum. Pertama sekali, bagi bahagian dalaman seperti merawat sakit perut, memanaskan badan, penghadaman makanan, rawatan selepas bersalin, mengeluarkan angin dalam badan dan sebagainya bolehlah menyediakan herba ini dengan menghiris haliah merah tanpa mengupas kulit(cuma berus untuk menanggalkan kotoran) serta dicampurkan dengan bawang merah, kemudian masukkan ke dalam gelas atau bekas lain dan campurkan sedikit gula, tuang air panas, gaul sehingga gula larut dan tunggu sehingga menjadi suam kemudian minum air campuran haliah merah, bawang merah, dan gula tadi.
Bagi bahagian luaran anggota tubuh badan pula, juga terdapat dua cara iaitu cara mandian dan juga sapuan. Mandian lebih sesuai kepada mereka yang demam, merawat kulit mati, mengeluarkan angin dalam badan, merawat sengal sendi, dan rawatan selepas bersalin. Caranya hanyalah mengambil haliah merah dan hiris ataupun memukulnya sehingga hancur, masukkan ke dalam besen besar kemudian tuang air panas secukupnya. Selepas itu, ambil kain sarung ataupun kain yang lebar serta memakainya dengan cara menutup keseluruhan anggota badan sambil duduk dekat dengan air haliah tadi. Tahan sehingga badan berpeluh terkena dengan wap air tersebut dan selepas itu bolehlah memandikan badan menggunakan air tersebut. Seterusnya adalah cara sapuan iaitu sesuai untuk merawat kecederaan otot dan sengal sendi. Caranya mudah sahaja iaitu hancurkan haliah merah bercampur dengan daun sirih kemudian balut dengan daun yang lebar dan lembab agar tidak mudah untuk terbakar(cth : beringin,keladi). Balutan perlu tebal kerana campuran haliah dan sirih ini perlu dibakar sehingga panas. Selepas dibakar, sapukan campuran tersebut di bahagian yang sakit kemudian lekatkan pada bahagian tersebut selepas beberapa minit(sehingga suam / tahan panas).
Sekian pengenalan serta serba sedikit cara penggunaan haliah merah.
No comments:
Post a Comment